Orang yang tidak tahu hujung pangkal – kalau dia tidak berhati ikhlas – akan mengata-ngata yang tidak patut, memfitnah atau berburuk sangka. Sebaliknya orang yang berjiwa mulia akan menerima khabar ini dengan penuh kesyukuran. Lihatlah dan pandanglah hasrat kami ini dengan sikap positif tanpa prejudis. Sekurang-kurangnya ini semua menjadi permulaan bagi penyatuan umat Islam di Malaysia. Bukankah ini yang sangat kita harapkan selama ini?
Selama ini kesangsian tidak dapat dielakkan. Diantara JAKIM, JAIS dan lain-lain pihak berkuasa agama di negeri-negeri – dengan GISB – ada jurang yang amat dalam. Ada curiga mencurigai serta saling tidak mempercayai. Prejudis ada di mana-mana dan pada setiap ketika. Keadaannya seperti tidak ada titik temu. Seolah-olah isu pengharaman Al-Arqam ini berlarutan begitu sahaja walaupun pelbagai usaha pemulihan telah dilakukan oleh pihak berkenaan. Duri dan sembilu yang muncul dalam isu pengharaman ini sangat menyucuk dan menyakitkan semua pihak.
Pak Lang ingat lagi ketika Dato’ Abd Rahman Palil pada sekitar tahun 2007 datang ke Bandar Country Homes, Rawang bersama anggota penguat kuasa JAIS. Tujuan mereka untuk memastikan syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn Bhd (RCSB) ketika itu dibersihkan dari unsur-unsur yang menyalahi fatwa. Walaupun kedatangan mereka sedemikian ramai ke pusat pentadbiran RCSB – untuk merampas barang dan peralatan serta buku-buku yang ada unsur menyalahi fatwa – tetapi suasananya tetap tenang.
Al-Marhum Ustaz Ashaari memang mendidik kami untuk tenang dan berlapang dada dengan apa juga tindakan mana-mana pihak terhadap RCSB ketika itu. Walaupun tenang, hakikatnya apa yang ada di dalam hati setiap pihak ialah saling mencurigai. Ianya lumrah bagi mana-mana pihak yang sedang memantau dan yang dipantau. Dari sudut agama, hati yang sebegini dikatakan hati yang berpecah atau hati yang tidak ada ikatan kasih sayang atau tidak ada perpaduan.
Semua yang terlibat diberi masa bertemu keluarga dan datang semula pada tarikh yang ditetapkan. Itupun dirasakan bukanlah sesi soal siasat tetapi lebih merupakan sesi taaruf atau pengenalan diri dan latar belakang. Butiran yang ditanya sangat bersahaja sehingga yang dipanggil tidak terasa mereka sedang disoal siasat.
Pak Lang puji pendekatan JAIS yang sebegini. Ianya sangat membantu Puan Ibu Hatijah menerima penjelasan pihak JAIS dengan sepenuh hati. Tekadnya bulat untuk tetap mematuhi kehendak fatwa. Apa yang dikehendaki fatwa, itulah yang sedang dan akan diikut. Apa yang dilarang dalam fatwa, itulah yang sedang dan akan terus ditinggalkan.
Orang yang mengenali Puan Ibu Hatijah pasti sedar, bukan mudah untuk “menterbalikkan” fikirannya tetapi inilah hakikat yang berlaku. Rupanya proses perbincangan dua hala yang merupakan pendekatan pihak JAIS telah membuka pintu hati Puan Ibu Hatijah untuk sedar dan insaf. Biarlah ada pihak yang agak skeptikal dengan hasrat ini. Apa yang penting kami semua – staf GISB seluruh dunia akan tetap bersamanya melalui proses ini. Ya Allah! bantulah kami dan terimalah taubat kami!!
1. Mengamalkan Aurad Muhmmadiah yang telah difatwakan sebagai mengeliru dan boleh membawa kesesatan.
2. Mempercayai Syeikh Muhammad bin Abdullah AsSuhaimi sebagai Imamul Mahdi
3. Mengatakan dan mempercayai bahawa Abuya Ashaari Muhammad belum mati tetapi cuma ghaib sahaja.
4. Mengamalkan pencak selepas solat, hantar power, kuarantin, pengasingan suami/isteri dengan pasangan masing-masing dan beberapa amalan berkaitan dengannya.
Bagi membuktikan kesungguhan pihak GISB mematuhi fatwa dan bertaubat, maka beberapa langkah secara sukarela dan drastik telah dan sedang diambil seperti berikut;
1. Menghantar surat kepada Majlis Fatwa, Jakim, Jais dan media bertujuan meminta maaf dan bertaubat.
2. Bersedia mengangkat sumpah taubat dan membuat surat sumpah taubat jika diminta oleh pihak berwajib agama di peringkat pusat maupun negeri-negeri dan bersedia mematuhi syarat-syarat dan peraturan-peraturan berkaitan yang ditetapkan.
3. Melupuskan semua bahan-bahan rujukan dan apa-apa juga yang berkaitan dengan ajaran yang dilarang oleh fatwa
4. Mengadakan majlis-majlis untuk menyedarkan, menginsafkan dan mentaubatkan seluruh staf dan mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan GISB
5. Melaksanakan program mengawal dan memantau semua staf GISB agar tidak terlibat mengulangi kesilapan dalam melanggar fatwa
6. Membebaskan semua staf yang sedang dikuarantinkan
7. Mengembalikan dan menyatukan semula suami/isteri atau anak-anak yang telah terpisah kepada keluarga masing-masing
8. Menghantar surat permohonan maaf dan bertaubat kepada semua pihak atau individu yang GISB pernah melakukan kesilapan dan kesalahan terhadap mereka
9. Akan beramal dan menerima amalan seperti wirid, zikir dan amalan tambahan lain yang disahkan oleh atau dari pihak yang mempunyai kelayakan seperti Jakim, Jais dan lain-lain.
10. GISB akan berusaha agar semua langkah-langkah tersebut dapat dihebahkan melalui media massa seperti TV dan akhbar-akhbar utama di Malaysia.
Sebahagian daripada langkah tersebut telah pun dilaksanakan. Manakala sebahagiannya sedang diusahakan dengan serius secara berperingkat-peringkat.
DOA KAMI:
“Wahai Tuhan Yang Maha Mengetahui lagi Maha Menerima Taubat hamba-hambaNya. Terimalah taubat kami kali ini dengan sebenar-benar penerimaan. Memang kami mengakui bahawa kami sering tersalah dan tersilap terhadap Engkau wahai Tuhan, kami sering kali tersalah dalam berfikir, berpendirian dan bersikap. Maka sudilah kiranya Engkau maafkan segala kelemahan kami dan Engkau ampunilah dosa-dosa kami wahai Tuhan Yang Maha Pengampun. Amin Ya Rabbal ‘alamin.”