Tajuk paparan kali ini mungkin pelik dan agak sukar difahami oleh sebahagian anak cucu dan pembaca blog sekelian. Apatah lagi bagi yang tidak memahami bahasa Arab. Hablum Minallah itu sememangnya satu ungkapan yang berasal dari gabungan 3 kalimah dalam Bahasa Arab. ‘Hablun’ – kalimah pertama bermakna ikatan atau hubungan. ‘Min’ – kalimah kedua bermakna ‘dengan’ dan yang ketiga ‘Allah’ adalah nama Allah. Ianya membawa maksud ‘Hubungan Dengan Allah’. Jadi ungkapan ‘Pentadbiran Majlis Hablun Minallah’ yang dimaksudkan di sini ialah ‘Pentadbiran Solat berjemaah’.
Inilah ungkapan yang dicetuskan oleh Dato Ratu Ibu Hatijah Aam baru-baru ini. Selaku Pengerusi Eksekutif GISB HOLDINGS Sdn Bhd dan Yang DiPertua YKPPM, Dato’ Ratu sentiasa muncul dengan idea-idea berinovasi yang sangat unik dan tersendiri. Semuanya bertujuan menjayakan proses pembinaan jiwa juang untuk semua warga GISB dan YKPPM di seluruh dunia.
Seperti mana termaklum GISB / YKPPM adalah dua entiti yang bergerak dalam bidang ekonomi dan sosial. Kedua-duanya berteraskan konsep ibadah atau ‘syariah compliant’ iaitu menghambakan diri kepada Allah SWT. Ibadah di sini bermaksud hubungan dengan Allah dan hubungan dengan sesama manusia. Di dalam Bahasa Arabnya di sebut; ‘Hablum Minallah Wa Hablun MinanNas’.
Inilah ungkapan yang sangat mendalam makna dan akibatnya kepada kita. Bukankah sembahyang itu bermakna kita sedang berdepan dengan Raja bagi segala Raja? Bukankah kita sedang mengadap satu Zat yang maha agung, maha hebat, maha berkuasa, maha mengetahui? Lalu apa yang kita ungkapkan itu sepatutnya menjadi satu bebanan serius untuk kita buktikan dan laksanakan. Tuhan maha memerhati amal perbuatan kita.
Bertitik tolak dari sinilah Dato’ Ratu Ibu Hatijah mengingatkan kami di GISB dan YKPPM agar menjadikan solat berjemaah itu sebagai satu keutamaan dari semua yang utama. Inilah bezanya GISB dan YKPPM dengan yang lain. Kami diajak untuk menjadikan GISB dan YKPPM ini sebagai wadah membesarkan Allah dan Rasul – sama seperti yang diikrarkan di dalam sembahyang setiap waktu. Jika kami gagal melakukan ini semua, seluruh aktiviti yang lain di dalam kedua-dua entiti ini dianggap gagal dan tidak bermakna apa-apa!!
Justeru kenapa perlu ada ‘Pentadbiran Solat Berjemaah’?
Sebenarnya ini hanyalah soal istilah. Janganlah kaget atau kehairanan. Apa yang dimaksudkan pada ungkapan ini bertujuan menarik perhatian kita semua agar serius menjayakan hal-hal yang berkaitan solat berjemaah. Ianya adalah sunnah berdasarkan hadis Nabi Saw yang menyuruh para imam memastikan makmum bersedia dengan barisan saf yang rapat, lurus, kemas dan sebagainya.
Apa yang Dato’ Ratu pesankan sangat ialah perlunya ada petugas khas yang membantu imam dalam hal ini. Para petugas ini dalam istilah tradisional dipanggil ‘siak’. Kita pun tidak tahu dari mana datangnya kalimah atau perkataan ‘siak’ ini. Yang pastinya ia bukan bahasa Arab tetapi peranan siak lebih kepada pembantu imam dan bilal.
Pendek kata, para ‘siak’ ini lebih teruk tugasnya secara lahirnya berbanding ‘bilal’ atau ‘imam’. Walau bagaimanapun jika dilihat dari sudut amanah dan tanggung jawab secara maknawi, peranan bilal dan imam tentulah lebih utama dan bermakna. Bilal perlu memastikan azan dilaungkan tepat pada waktunya. Sebaik-baiknya bilal – dengan menggunakan pembesar suara, mengalunkan selawat atau ‘bacaan tarhim’ (untuk waktu Subuh) agar membantu para Jemaah bersedia untuk ke masjid mengerjakan solat berjemaah.
Manakala imam pula tentulah lebih berat tanggung jawabnya. Secara batinnya imam perlu menerajui proses membawa hatinya dan hati para makmum ‘mikraj’ kepada Tuhan. Sebab itu sebaik-baik imam yang perlu dipilih ialah mereka yang alim dan warak. Alim di sini, cukuplah sekadar mengetahui dan memahami ilmu fardhu Ain di bidang thaharah (kesucian) dan ibadah sahaja sekira-kira sahlah ibadah solatnya dari sudut bacaan dan perbuatannya.
Oleh itu, jika seseorang yang mempunyai pengetahuan tinggi di dalam bidang agama tetapi tidak ada warak pada diri dan peribadinya dan masyarakat pun tidak berkenan dengan peribadinya maka dia bukanlah seorang layak menjadi imam. Itulah keutamaan pada syarak. Orang yang mesti dipilih menjadi imam ialah seorang yang tahu serta faham tentang ilmu fardhu ain mengenai solat dan warak pada watak peribadinya.
Soalnya apakah yang dimaksudkan pentadbiran solat berjemaah pada masa sekarang?
Sila ikuti paparan seterusnya. Pak Lang berhenti dulu setakat ini agar paparan ini tidak terlalu panjang. Ampun maaf!