
Oleh Datuk Dr. Syed Ali Tawfik al-Attas
Mereka lupa, atau tidak memahami hakikat bahawa bahasa dan fikiran, yang satunya saling mencerminkan yang satu lagi; dalam perkataan lain, cara untuk mempengaruhi pemikiran adalah melalui bahasa, dan bahasa memberikan kesan terhadap cara seseorang berfikir. Kita telah diperingatkan akan dakwaan mereka, �Bible bahasa Melayu menggunakan kalimah �Allah� sebagai terjemahan kepada istilah God dan �Tuhan� untuk Lord.� Jelas bahawa makna-makna bagi istilah tersebut dalam Bible bahasa Melayu yang mereka rujuk, adalah salah. Apakah mereka ingin menunjuk dan mengajar orang-orang Melayu mengenai peristilahan yang betul yang terdapat dalam bahasa Melayu? Bahasa Melayu memahami istilah �Tuhan� untuk merujuk kepada istilah God juga dan bukan untuk merujuk kepada istilah Lord semata mata. Orang-orang Melayu faham bahawa apabila istilah bahasa Arab �ilah� digunapakai, ia membawa maksud �Tuhan yang disembah� dalam bahasa Melayu, yang dirujuk menggunakan istilah �God� dalam bahasa Inggeris.
Akan tetapi, istilah �Lord� dalam loghat bahasa Inggeris tidak mencerminkan Tuhan agama Islam yang mencipta, memelihara, dan memiliki sekalian alam walaupun istilah tersebut diterjemahkan sebagai �Tuhan� dalam bahasa Melayu. Istilah �Lord� dalam loghat bahasa Inggeris merujuk kepada Tuhan agama Kristian semata-mata, dan Tuhan yang dimaksudkan itu tidak lain daripada Jesus Christ. Oleh yang demikian, faham �Lord� tersebut tidak terkandung didalam rangka pandangan alam Islam. Sekiranya kita merujuk kepada �the Lord�s Prayer�, ianya ditakrifkan sebagai doa yang dikatakan diajarkan oleh Jesus Christ (the Lord) kepada pengikut-pengikutnya, yang bermula dengan �Bapa kami�.
Kita melihat bahawa wakil pihak Katolik sememangnya sarat dengan percanggahan. Dalam laporan-laporan akhbar, beliau menggunakan rangkai-kata �Bahasa Malaysia� merujuk kepada bahasa yang digunakan dalam terbitan mingguan mereka untuk memenuhi keperluan �ramai para penganut Katolik yang bertutur dalam bahasa Malaysia� di negara ini. Bagaimanapun, beliau kemudiannya berhujah dengan menggunakan peristilahan yang terdapat hanya dalam bahasa Melayu.
Ia adalah satu bahasa yang faham-faham utamanya yang berkenaan dengan hakikat insan dan nisbah antara yang Kudus dengan yang nista (the Sacred and the profane) telah dilahirkan dari rahim agama Islam dan kebudayaan Melayu. Oleh kerana itu, sekiranya peristilahan dari agama lain mengenai faham-faham utama itu diterjemahkan dalam bahasa Melayu, ia wajiblah mencerminkan kelaziman Melayu, yang berpunca dari agama dan kerangka pandangan alam Islam.
Wakil Katolik juga ada mendakwa, �Kami mengikut Bible�, mengenai penggunaan istilah �Allah� bila merujuk kepada istilah �God�. Apakah itu benar? Apakah beliau betul-betul menggunakan Bible sebagai sumber rujukannya? Terjemahan atau versi Bible yang mana yang beliau rujuk? Terdahulu kita telah memetik laporan media bahawa Paderi Lawrence mendakwa �semenjak awal abad ke-19, para penganut agama Katolik di Malaya telahpun memiliki buku-buku doa dalam bahasa Melayu dan �Allah� telah digunakan untuk merujuk kepada God, dan para penganut Katolik Malta juga menggunakan istilah �Allah� untuk merujuk kepada God, dan demikian juga para penganut Kristian di Indonesia, Pakistan dan Timur Tengah.�
Sekiranya sesuatu itu tidak boleh berfikir secara aqliah, bagaimana ia boleh dikutip sebagai sumber rujukan yang sah, apatah lagi dalam hal-ehwal nisbah hubungan antara yang Kudus dan yang nista? Tambahan pula, dan lebih penting lagi, perkataan �Allah� adalah nama khas (proper name), sedangkan kalimat �Tuhan� (God) adalah istilah umum yang merujuk kepada objek tumpuan kemuliaan teragung yang tiada nama, Pencipta Yang Maha Esa dan Pemerintah alam semesta.
Berdasarkan kepada hakikat bahawa perkataan �Allah� adalah nama khas, ia bukanlah istilah yang mencerminkan bahasa kebangsaan . Justeru, hujah wakil Katolik yang mendakwa Bible Melayu menggunakan istilah itu, seolah-olah penggunaan istilah itu dalam bahasa Melayu mencerminkan bahasa kebangsaan, adalah karut semata-mata. Tambahan pula, walaupun seseorang itu mungkin mengakui bahawa benar orang-orang Kristian Arab di Timur Tengah menggunakan istilah �Allah�, mereka tidak menggunakannya merujuk kepada istilah God yang tercermin dalam Bible atau terjemahan-terjemahan Bible dalam bahasa Arab.
Dari segi falsafah maknawi, tidak terdapat taswwur kefahaman mengenai �Allah� dalam agama Kristian, dan dalam sebarang agama yang lain pun begitu juga; oleh kerana itu, agama-agama tersebut tidak berhak untuk menggunakan istilah �Allah�. Tidak ada disebut mengenai nama khas Tuhan dalam Bible. Jika ada yang mendakwa nama Tuhan adalah Jesus Christ, maka kenapa istilah �Tuhan� (God) diterjemah dengan menggunakan kalimat �Allah� dan bukan �Jesus Christ�?
Oleh kerana nama khas Tuhan tidak disebut dalam Bible, berlakulah suatu kekaburan mengenai siapa yang disembah. Apakah nama khas Tuhan dalam agama Kristian? Sesungguhnyalah kita boleh menghujahkan bahawa ketiadaan nama khas-Nya bercanggah dengan sifat Tuhan Yang Maha Mengetahui. Tidakkah Tuhan mencipta manusia supaya dia mengenal dan menyembah-Nya? Tetapi siapakah yang disembah oleh manusia sekiranya dia tidak kenal siapa Tuhan?
Oleh kerana kita telah berhujah bahawa kalimat �Allah� adalah nama khas dan pengertian sedemikian tidak ada dalam agama Kristian atau apa-apa juga agama lain, kita bolehlah dengan ini menyimpulkan bahawa sumber rujukan sebenar wakil-wakil Katolik bukanlah Bible atau perkumpulan masyarakat Katolik abad ke-19 di Malaya, Malta, Indonesia, Pakistan, dan di Timur Tengah, tetapi sumber asal mereka adalah al-Quran. Oleh itu, marilah kita meneliti apa yang dinyatakan dalam al-Qur�an mengenai siapakah Tuhan yang wajib disembah. Untuk tujuan ini, kita akan merujuk kepada surah al-Quran yang ke-112 dan pengenalan tafsirnya. Pengantar huraian surah tersebut berbunyi,
Dia tidak beranak, berbapa atau berpasangan. Bagi-Nya tiada suatu pun tara. (Lihat Abdullah Yusuf Ali, The Meaning of the Holy Qur�an, Brentwood, Maryland: Amana Corporation.)
Jelas bahawa bahagian akhir penerangan tafsir menyanggah pemerian Tuhan Tiga-Bersatu (Trinity) oleh Bible. Sekiranya pembaca meneliti surah itu sendiri, ia berbunyi,
Katakanlah: �Dia adalah Allah, Yang Maha Esa. Allah, Yang Maha Kekal Abadi tiada berkesudahan. Tiada Dia beranak, dan tiada pula Dia diperanakkan. Dan bagi-Nya tiada suatu pun tara.�
Dari awal-awal lagi nama khas Tuhan yang wajib disembah dinyatakan, Allah. Ini diikuti dengan pemberian bahawa Dia adalah Tuhan Yang Maha Esa yang kepada-Nya pengabdian wajib diserahkan, maha suci lagi maha murni yang nyata tiada taranya dengan khalayak makhluk-Nya; sebarang benda yang lain semuanya hanya bayangan pucat bernisbah kepada-Nya.
Bahagian terakhir surah tersebut, �Dan bagi-Nya tiada suatu pun tara� memberi amaran �jangan menanggapi Tuhan dalam sifat rupa-bentuk manusia (anthropomorphism), iaitu kecenderungan untuk menanggapi Allah menurut rupa dan bentuk serta sifat kita sendiri, satu kecenderungan licik yang menyusup dalam setiap zaman dan di kalangan semua bangsa� (huruf condong penegasan saya, lihat catatan no. 6300 sumber di atas). Nyata bahawa �Tuhan� agama Islam bukanlah �Tuhan� agama Kristian.
Akan tetapi wakil-wakil Katolik mengigau bahawa Dia satu dan sama. Apakah mereka mewakili pandangan kebanyakan penganut Katolik? Apakah pendapat mereka yang �berkewibawaan� menggambarkan pandangan Gereja Katolik, ataupun pandangan Paus (Pope)? Apakah benar yang pandangan mereka tidak bermaksud untuk menggusarkan atau mengelirukan orang-orang Islam? Nampaknya usaha mereka bukanlah agar orang-orang Melayu masuk dalam agama Kristian; bahkan lebih jauh dari itu, ia merupakan satu percubaan agar agama Kristian memeluk pandangan hidup orang-orang Melayu.
Dalam hal ini, wakil-wakil Katolik menghujahkan bahawa menurut tradisi pemikiran Katolik istilah �God� dalam bahasa Inggeris diterjemahkan dalam bahasa Melayu sebagai �Allah�, satu kalimat yang mencerminkan tradisi akidah dan pemikiran Islam. Dan justeru itu, makna sebenar istilah asal God, seperti yang tergambar dalam tradisi pemikiran Katolik, dengan sengaja sedang kelam dikelirukan.
Singkatnya, anda sama-sekali tidak memiliki hak atau keizinan untuk menterjemahkan peristilahan yang terdapat dalam satu tradisi pemikiran aqidah agama dengan menggunakan ungkapan-ungkapan tradisi pemikiran aqidah agama yang lain, khususnya ungkapan-ungkapan yang merujuk kepada siapa itu Tuhan yang tidak ada faham tasdiqnya dalam tradisi anda sendiri.
Anda mesti memperlihatkan rasa hormat kepada istilah-istilah penting dan erti-erti maknawi yang mencerminkan agama Islam dalam bahasa Melayu, persis sikap masyarakat Islam yang menghormati istilah-istilah dan faham-faham dasar anda. Kami tidak merujuk kepada tempat-tempat pemujaan anda selaku masjid, tetapi sebagai gereja, kuil, candi dan seterusnya. Kami tidak menganggap pemimpin sembahyang berkumpulan kamu sebagai imam, melainkan selaku paderi, sami dan seterusnya.
Lebih penting lagi, kami tidak merujuk kepada tumpuan sembahan anda sebagai Allah, tetapi sebagai Tuhan. Kami tidak menafikan hak mana-mana golongan penganut agama lain untuk menterjemahkan buku suci masing-masing dalam bahasa Melayu; cumanya, seandainya ada mereka yang hendak berbuat demikian, maka golongan tersebut mestilah memiliki ilmu dan keahlian mengenai Bahasa Melayu, dan cukup berdaya-cipta lagi berilmu untuk menggunakan peristilahan yang benar-benar mencerminkan tradisi pemikiran aqidah agama mereka masing-masingnya. Sementara itu, adalah wajar bagi wakil-wakil Katolik supaya bersikap lebih teliti, waspada dan berhati-hati.