Wanita yang luar biasa itu mendapat sumber kekuatan dari Tuhannya. Manakala wanita biasa itu sumber pendorongnya adalah nafsu dan syaitan yang sentiasa membelenggu dirinya. Kedua-duanya dilihat bekerja dan berjuang tetapi nilaian mereka di sisi Tuhan tentulah jauh berbeza.
Di majlis-majlis kenduri – terutama di kampung-kampung, kita akan lihat ramai yang berdatangan membantu memasak, menghidang dan berbagai kerja. Semuanya bergotong royong menolong tuan rumah agar majlis kenduri itu berjalan lancar dan sempurna. Tidak ramai yang jujur dan ikhlas. Kebanyakannya kelihatan menunjuk-nunjuk, berbangga dengan barang kemas di badan masing-masing, mengumpat, bergaul bebas dan sebagainya. Yang lebih dahsyat ialah mereka dengan mudahnya meninggalkan solat dengan alasan sibuk. Tentulah hasil yang mereka dapat adalah kemurkaan Tuhan.
Itu hanya dari sudut kenduri kendara. Belum lagi ditinjau dalam sudut pekerjaan seharian atau perjuangan yang diri mereka terlibat. Biasanya itu semua boleh dinilai dan dikenal pasti kejujurannya. Terutama para pemimpin masyarakat, jika mereka mudah menipu masyarakat, mudah jugalah masyarakat melihat kejelekan diri mereka.
Begitu juga ujian kepada wanita yang berpoligami. Hanya wanita luar biasa sahaja yang akan terpimpin melepasi setiap libasan nafsu syaitan yang sentiasa berlaku. Hanya wanita yang terdidik sahaja yang boleh menerima poligami sebagai proses membuang cinta dunia. Wanita biasa tidak menyedari penyakit mereka yang dahsyat. Wanita biasa tentulah wanita yang mudah kena tipu. Cinta mereka dengan suami pun, tidak disedari sudah dirosakkan oleh nafsu.
Wanita solehah akan sangat merasakan bagaimana poligami dapat membuang cinta dunia dari hatinya. Wanita biasa hanyut dalam kecintaan dan ‘tuhannya’ itu adalah suaminya. Antara suami dan Allah, dia tidak pasti mana satu keutamaannya.
Sebab itu untuk mendidik wanita, poligami adalah jalan terbaik. Justeru, Rasulullah saw dan para sahabat rhum menjadi pengamal poligami yang berjaya membina model ikutan. Hanya melalui proses didikan poligami sahajalah, akhirnya tuhanlah yang dibesarkan dalam diri dan kehidupan seseorang wanita atau isteri. Bukan lagi membesarkan suami sehingga Tuhan dilupakan dari hidup. Suami dijadikan segala-galanya meninggalkan Tuhan tidak dipedulikan. Cinta suami tidaklah ke mana. Kasih sayang suami akan ada pasang surutnya sedangkan cintakan Tuhan adalah kesempurnaan, kebahagiaan dan keselamatan. Bukankah tidak mungkin ada dua cinta di dalam hati yang satu? Allah!!
Inilah rahsia didikan untuk para wanita di dalam GISB / YKPPM. Sebenarnya tidak ada apa-apa amalan ‘magic’ utuk menundukkan kaum hawa ini melainkan pendidikan ruh. Juga tidak ada pengaruh jin jembalang yang digunakan bagi membolehkan seseorang muslimah GISB / YKPPM tunduk untuk bersetuju dengan poligami. Ianya adalah bagaimana hati mereka dibawa mikraj kepada Tuhan. Sejauh mana dan selaju mana hati mereka dapat dipecut menuju Tuhan, sejauh itulah mereka berupaya tunduk, taat dan patuh dengan kehendak suami dan perjuangan mendaulatkan sistem hidup berpoligami yang sangat berwibawa.
Dato’ Ratu Ibu Hatijah Aam yang menerajui proses mendidik wanita untuk bersetuju dengan poligami ini, akan terus memastikan sistem hidup keluarga poligami ini terus wujud dan berkembang. Di dalam GISB / YKPPM, poligami adalah proses berterusan melahirkan warga kerja yang mempunyai Tuhan di dalam hati mereka.
Dan perlulah diingat poligami juga adalah proses kelayakan seseorang suami dalam memimpin isteri-isteri yang tentunya berbeza latar belakang, berbeza ilmu dan pengalaman, berbeza jiwa dan perasaan. Keupayaan mendidik wanita yang pelbagai ragam watak adalah pertanda seseorang suami itu berpotensi dimanahkan tugas memimpin kelompok masyarakat yang lebih besar.
Maka sebaik-baik wanita itu ialah yang sanggup dibuat apa saja demi mendapatkan Allah dan Rasul. Manakala wanita yang malang dan rugi itu ialah mereka yang tidak mahu menundukkan nafsu. Memilih untuk terus bersama nafsu adalah pertanda sombong dan angkuh dengan Tuhan. Cukuplah sekian lama tertipu dengan nafsu dan dunia. Jadilah wanita-wanita terbaik dan jadilah wanita pilihan Tuhan di akhir zaman.